Dari jauh kita sudah dapat mengenal pasti akan bunga ini. Terutamanya di waktu hari cerah, cahaya yang terpancar dari suria menjelaskan lagi kecantikan warna-warna pada daun bunga tersebut . Ada yang berwarna berbelang-belang,bertompok-tompok , bintik-bintik kecil dan bermacam – macam lagi. Bentuknya juga berbeza mengikut spesies yang ditanam. Dengan kepelbagaian warna dan juga bentuk yang ada pada daun, bunga ini amat tersohor dan terkenal terutamanya di Malaysia mahupun rantau Asia Tenggara dan sudah tentu menjadi kegemaran ramai orang untuk menanamnya sebagai tanaman perhiasan untuk menyerikan lagi laman rumah.
Bunga Puding itulah gelaran yang diberi pada tanaman ini, nama saintifik bagi bunga ini adalah ‘
Codiaeum spp’ dan tergolong dalam famili
Euphorbiaceae.
Kalau kita perhatikan di kampung-kampung mahu pun di tanah rancangan Felda, begitu ramai orang menanam Bunga Puding di laman rumah sebagai pokok pagar dan juga sebagai sebagai tanaman hiasan. Ada pula yang dijadikan perhiasan di ruangan pameran bagi menambah keceriaan galeri untuk menarik perhatian pengunjung untuk datang. Bunga ini amat mudah ditanam dan pengurusannya pula tidak merumitkan.
Ia boleh dikenal pasti berdasarkan sifat bentuk pada daun seperti:-
Krispum – Kerinting, beralun pada tepi daun
Platifilum - Daun lebar,hujung lebih besar pada pangkal.
Lobatum - Daun bercuping tiga,lebar pada tengah
Kornutum – Urat timbul dan jelas menonjol pada daun.
Apendikulatum- Daun panjang dan kecil/tidak lebar
Tidak dapat dipastikan sama ada bunga Puding boleh dijadikan sebagai tanaman perubatan tetapi terdapat rujukan dari negara China bahawa ia digunakan secara tradisional untuk merawat penyakit
Gastrik.
Antara spesies yang terkenal adalah
Codiaeum variegatum, ia sering dijadikan sebagai penghias halaman rumah bagi kebanyakan peminatnya.